Belajar Diam, Belajar Tenang
Sabtu ini, aku belajar sesuatu yang pelik tapi benar iaitu diam itu bukan tanda kalah. Kadang-kadang, diam itu cara paling halus untuk jaga hati sendiri. Bukan semua yang kita rasa perlu dijelaskan, bukan semua yang kita lihat perlu dipersoalkan.
Aku sedar, Sabtu selalu terasa lebih panjang. Jalan di luar rumah penuh senyum dan mesra. Orang lalu-lalang dengan wajah manis, pelanggan bercakap lembut, suara mereka lunak memuji. Tapi… siapa sangka? Mesra di luar rumah belum tentu tenang di dalamnya.
Sabtu juga mengajar aku satu perkara bahawa ada senyuman yang kita beri untuk dunia, dan ada sabar yang kita simpan untuk jiwa. Yang dunia nampak cuma kulitnya, yang kita rasa cuma kita yang tahu.
Maka hari ini aku pilih untuk rehat. Rehat bukan sekadar dari kerja, tapi rehat dari rasa marah, rasa kecewa, rasa tak dihargai. Sabtu bukan hanya cuti dari jadual sibuk, tapi peluang untuk menenangkan jiwa… dan belajar siapa yang benar-benar penting dalam hidup.
“Ya Allah, jadikan Sabtu ini rehat yang menenangkan hati dan lapang yang menyembuhkan rasa.”
Dan di sinilah aku sekarang. Duduk diam, menulis sunyi ini. Sabtu mungkin hanya satu hari dalam seminggu, tapi untuk aku, Sabtu ini jadi ruang untuk belajar tenang.

Comments
Post a Comment